Kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris “counselling” yang boleh
difahami oleh semua orang, tetapi mereka mungkin memahaminya dalam pergertian
yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam
aktiviti kaunseling baik secara langsung atau tidak langsung, terutamanya ibu bapa,
guru, pemimpin agama, peguam, doktor, jururawat dan juga semua yang terlibat dengan
proses mendidik dan kebajikan masyarakat.
Kaunseling bukanlah perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti rundingcara
sesama mereka. Kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk
mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia. Apa yang ketara
kaunseling merupakan alat asas bagi kebanyakan profesional. Secara amnya dapat
dikatakan bahawa konsep kaunseling diamalkan di dalam bidang pendidikan, perubatan,
agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan keluarga.
Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada
bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan
berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah
manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga kembang daripada
situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan
kepada kepercayaan:
. Bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi
makna kepada kehidupan masing-masing.
• Mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia
bertanggungjawab terhadap arah kehidupan masing-masing.
Kaunseling merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dan klien, iaitu orang yang
meminta pertolongan sama ada datang sendiri ataupun dirujuk. Tujuan
pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien
membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya, di samping mengetahui baik
buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu.
Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan
situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan
nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa
depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang
kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien.
Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan
masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan
dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan
tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.
Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka
aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya.
Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-
pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan
halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan
lebih sempurna.
Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan. Melalui proses ini, klien
dibimbing membuat keputusan sendiri. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara
kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan
klien berubah.
TUJUAN KAUNSELING
Para profesional di bidang kaunseling dan psikoterapi mempunyai pendapat yang berbeza
tentang kaunseling dan psikoterapi. Kaunseling mempunyai dua jenis tujuan, iaitu tujuan
proses dan tujuan terakhir. Tujuan atau matlamat proses merupakan yang ingin dicapai
dalam masa yang singkat. Tujuan proses terus melibatkan klien di dalam proses
kaunseling sehingga kaunselor dan klien bersetuju bahawa klien tidak lagi memerlukan
perkhidmatan lanjut. Untuk mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal sangatlah
penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak percaya dengan
kaunselornya, maka dia tidak akan mahu meneruskan proses dan perhubungan
kaunseling tersebut.
Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan perkhidmatan kaunseling dalam jangka
masa yang panjang. Tujuan terakhir adalah perubahan atau perkembangan yang akan
dialami oleh klien hasil daripada perkhidmatan kaunseling. Di antara konsep yang
diutamakan ialah kesedaran kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi
sepenuhnya dan kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir merupakan persoalan yang
dihadapi oleh manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah
sahaja, bahkan merupakan tujuan setiap manusia yang ingin hidup dengan lebih
bermakna, berfungsi dengan sepenuhnya bergerak dan dinamik.
Lima tujuan kaunseling iaitu:
1. Menolong mengubah tingkah laku klien.
2. Menambahkan kemahiran klien mengendalikan kehidupannya sendiri, terutama
mereka yang terlalu bergantung kepada orang lain atau terlalu bimbang dan ragu-
ragu tentang dirinya.
3. Menambahkan kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien
diharapkan dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana,
tahu bagaimana dan mengapa keputusan tertentu mesti dibuat, apakah
kemungkinan akibat atau kesannya dan sedia menghadapi sebarang risiko akibat
keputusan tersebut.
4 Membaiki perhubungan klien dengan ahli-ahli masyarakatnya. Ramai orang
menghadapi masalah dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Masalah
ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep kendiri, sama ada konsep
kendiri yang rendah atau sebaliknya. Diharapkan proses kaunseling dapat
menolong klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain,
misalnya perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya dan
seterusnya dalam masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu
kesejahteraan kehidupan individu.
5. Membantu perkembangan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti
kebolehan dan bakatnya supaya dia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
Kaunseling mementingkan perubahan yang tertentu tetapi keseluruhan perubahan pada
diri seseorang individu itu hingga menyebabkan dia merasa sejahtera. Objektif
kaunseling yang utama ialah untuk memberi inspirasi kepada klien bagi menilai,
membuat, menerima dan mengambil tindakan terhadap pilihan atau keputusan yang
dibuatnya. Bagi mereka, kaunseling menolong klien mempelajari proses membuat
keputusan, sehingga akhirnya dia dapat membuat keputusan tanpa sentiasa
mengharapkan bantuan orang lain. Pelbagai tujuan telah diutarakan oleh mereka yang
banyak pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Satu hakikat yang
nyata ialah tujuan itu tidak sama pada semua orang. Di dalam perkembangan proses
kaunseling, tujuan bagi seseorang klien itu mungkin diubahsuai dari semasa ke semasa.
Usaha membina tujuan mestilah dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak kaku, statik
atau tetap; dan perlu dibuat penilaian bersama oleh klien dan kaunselor mengikut
keperluan klien.
Secara umumnya, bolehlah disimpulkan bahawa kaunseling menolong seorang klien:
• Memahami diri dan situasinya;
• Mengenal pasti keperluannya;
• Menerima realiti hidupnya;
• Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya;
• Bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya;
• Dan seterusnya menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.
Tujuan terakhir supaya klien bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya sehingga
menjadi individu yang berfungsi sepenuhnya tidak mungkin dapat dicapai dalam masa
yang singkat. Ia merupakan tujuan hidup setiap insan yang inginkan kesejahteraan hidup
di dunia. Walaubagaimana pun tidaklah dapat dinafikan bahawa setiap klien dan
kaunselor mempunyai tujuan-tujuan jangka pendek yang lebih khusus yang ingin dicapai
dalam masa yang singkat.
Setiap manusia mesti dilihat menurut konteks sesuatu situasi di antara diri dan situasi
yang menimbulkan masalah-masalah berkenaan, difahami bagaimana, mengapa dan
kenapa, supaya dapat diterima hakikat yang sebenar dan dapat dibina tujuan-tujuan
hidup yang lebih realistik dan lebih bermakna. Jika dilihat dari segi ini, tujuan juga
merupakan suatu proses yang dinamik, di dalam perjalanan hidup di dunia ini yang
penuh dengan cabaran dan ketidakpastian. Masalah individu yang berhubung dengan
kerunsingan, psikologi, peribadi dan ketidaksejahteraan, kebanyakannya berpunca dari
dalam diri individu itu sendiri kerana tidak memahami diri dan situasi serta tidak
mempunyai jangkaan atau harapan yang realistik terhadap hidup.
Persoalan-persoalan asas seperti siapakah aku, dari manakah asalku, apakah tujuan
hidupku, siapakah yang menjadikan aku, untuk apakah aku dihidupkan dan
seumpamanya sepatutnya diberi perhatian yang wajar.
Diharapkan klien dapat belajar mengendalikan hidupnya sendiri daripada pengalaman
dalam proses dan perhubungan kaunseling. Dalam proses kaunseling, klien belajar tetapi
kaunselor tidak mengajar. Fungsi kaunselor adalah sebagai ‘pemandu’ yang pada
mulanya diperlukan untuk menunjuk jalan dan menemani klien dalam perjalanannya,
memahami diri dan situasinya serta mengenal pasti keperluannya. Setelah tujuan ini
tercapai, barulah fungsi dan peranan kaunselor tercapai dengan sempurnanya. Semakin
berkurangan sehingga sampai klien tidak lagi memerlukannya kerana dia sudah dapat
meneruskan perjalanannya sendiri tanpa bantuan daripada kaunselor lagi.
Pão de Açúcar (Sugarloaf)
11 years ago

No comments:
Post a Comment