Wednesday, June 9, 2010

Diploma oh...diploma.....

aduh...bila bercakap pasal diploma...semua gerun....bukan apa....tak hilang lagi penat kerja sambung pulak dengan diploma...nak rehat pun cukup masa. namun perjuangan tetap harus diteruskan demi kejayaan dan masa depan..hilang rasa penat bila melihat wajah kawan2 yang sanggup berjuang bersama-sama. kawan-kawan..kenangan manis kita bersama terpahat diingatan dan selamanya.

SELAMAT HARI GURU

KEPADA SEMUA WARGA PENDIDIK, SELAMAT HARI GURU UNTUK SEMUA, MOGA PERJUANGAN KITA DIBERKATI DAN DIRAHMATI, DEMI ANAK2 BANGSA DAN NEGARA


Kami guru Malaysia

Berikrar dan berjanji

Mendidik dan memimpin

Putra putri negara kita

Pada Seri Paduka

Kami tumpahkan setia

Rukun Negara kita

Panduan hidup kami semua


Di bidang pembangunan

Kami tetap bersama

Membantu, membina

Negara yang tercinta


Amanah yang diberi

Kami tak persiakan

Apa yang kami janji

Tunai tetap kami tunaikan

KEM PRS 2010

Kem PRS sesi 2010/2011 telah diadakan pada 7 hingga 9 Mei yang lalu, pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya malam penghayatan, kembara malam, pengenalan PRS, berkayak dan sebagainya. semua aktiviti yang dijalankan memberi pendedahan kepada pelajar PRS untuk menjadi PRS yang baik dan bertanggungjawab kepada amanah yang telah diberikan.selain itu memberi peluang kepada pelajar PRS melahirkan idea2 yang kreatif untuk membantu mereka berjaya dan membantu rakan2 lain berjaya. slogan PRS "membantu diri sendiri sebelum membantu orang lain"

PRS MRSM TRANSKRIAN JELAJAH SINGAPORE 2010




Memang gempaq dan menarik apabila sekali lagi pelajar PRS MRSM Transkrian berjaya menjejak kaki di bumi Singapore pada 28 April hingga 1 Mei 2010 yang lalu. seramai 3 orang guru dan 29 orang pelajar yang terlibat dalam program tersebut. ternyata Singapore sebuah negara yang menarik, canggih dengan teknologi dan pembangunannya, bersih dan aman damai. walaupun sebuah negara yang kecil, namun cukup memberikan satu kepuasan untuk mereka yang gemar melancong dan menjelajah dunia.

MENANGANI STRESS SECARA ISLAM

Solat menghilangkan ketegangan dalam hidup.
Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah SWT.

Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti tekanan kerja sebegini adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya. Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 maksudnya:

(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu). Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

KAEDAH
Banyak kaedah menghadapi tekanan kerja berlandaskan ajaran Islam yang cukup berkesan untuk diamalkan.
--Pertamanya, menjaga solat fardu lima waktu dan memperbanyakkan solat sunat.
Banyak kajian pakar psikologi barat sendiri yang telah memperakukan fadilat solat dalam memberi ketenangan jiwa dan pemikiran seseorang. Menurut kesimpulan beberapa kajian sarjana barat, secara saintifiknya solat merupakan suatu tempoh masa ‘aman dan damai’ di mana seluruh tubuh dan minda seseorang terfokus kepada sesuatu (kepada Allah SWT).

Gerakan-gerakan dan keadaan minda dalam solat berupaya menghalang pengaliran keluar hormon-hormon seperti Cortisol, Epinephrine dan Norepinephrine daripada kelenjar adrenalin yang bertindak balas terhadap sebarang tekanan. Solat turut membantu memberi intervensi positif terhadap sistem pernafasan, aliran oksigen dalam badan, degupan jantung, dan gelombang otak.

Daripada konteks Islam, dengan mendirikan solat fardu lima waktu dan dilengkapkan dengan amalan solat-solat sunat yang pelbagai, seseorang itu akan diberikan pertolongan oleh Allah SWT dalam sebarang kesukaran seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153 maksudnya:
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

--Keduanya dengan amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 28 maksudnya:
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

--Ketiganya, mengamalkan mendengar, membaca dan menghayati akan tafsir al-Quran. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa, ‘al-Quran adalah penawar kepada kesakitan minda’ (riwayat Bukhari).
Membaca al-Quran sendiri memberikan ketenangan kepada pembaca malah kepada sesiapa yang mendengar bacaannya apatah lagi jika ayat-ayat Allah itu difahami, dihayati dan dijadikan panduan dalam kehidupan. Ini adalah kerana al-Quran (dan al-hadith) merupakan sumber teragung dalam merungkaikan segala permasalahan manusia.

--Keempatnya, meletakkan keyakinan bahawa kehidupan dunia ini adalah sementara dan akhirat jua tempat yang kekal selama-lamanya.
Dengan cara ini, jiwa akan terasuh untuk menyedari bahawa apa sahaja yang berlaku di dunia ini baik ia bersifat positif ataupun negatif adalah sekadar ‘warna kehidupan dunia yang tidak kekal lama’ dan akan mendapat balasan yang setimpalnya di akhirat kelak.

Tekanan yang dihadapi di tempat kerja akan menjadi sesuatu yang terlalu kerdil jika dibandingkan dengan apa yang akan dihadapi di Padang Mahsyar kelak. Diri kita akan sentiasa takutkan azab api neraka dan berusaha mencari keredhaan-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga.

--Kelimanya, dengan amalan berdoa, memohon keampunan dan menyerahkan segala apa yang telah diusahakan bagi mengatasi tekanan diri untuk ketentuan-Nya. Allah SWT berfirman dalam surah al-Ghaafir ayat 60 bermaksud:
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.”
Jika diri kita telah bersungguh-sungguh cuba mengatasi tekanan, mengikut saluran dan kaedah yang tepat, maka kita juga perlu bersifat tawakkal dan ikhlas menerima segala ketentuan-Nya.

Kesimpulannya, walau sebesar manapun masalah atau kesukaran yang menyumbang kepada tekanan di tempat kerja, kita perlu sedar bahawa ianya boleh dihadapi dengan jayanya jika tindak-tanduk kita menepati syariat Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr, ayat 27-30 yang bermaksud:

Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurgaku.
Jika hati dan pemikiran kita sentiasa bersandarkan kepada sifat tawaduk, yakin dan syukur kepada Allah SWT, maka diri kita akan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya dalam menangani segala tekanan tersebut.

APA ITU STRESS

Apa itu Stress?

Stress atau tekanan boleh menjadikan kehidupan seseorang itu tidak sihat. Ada kalanya boleh membuatkan seseorang itu GILA atau sakit mental. Mungkin anda baru dimarahi penyelia, mungkin kerja tidak menjadi, atau mungkin juga hubungan cinta dan keluarga anda sedang dilanda badai. Seharian memikirkannya hingga menjadikan hidup anda huru hara. Namun jalan penyelesaian tidak juga nampak tandanya. Siapa tak stress kalau dalam situasi begini? Bagi anda yang sedang mengalami stress yang melampau, tidak kiralah kerana kerja, cinta, keluarga atau orang sekeliling.


12 Tips tangani Stress

1.Uruskan Masa Dengan Efektif
Urusan atau rutin harian memerlukan jadual atau rancangan. Pastikan anda mempunyai masa untuk diri sendiri dan masa untuk melakukan aktiviti yang dapat mengurangkan tekanan. Lakukan aktiviti yang paling penting terlebih dahulu.

2. Elakkan Mengambil Dadah atau Alkohol
Dadah atau alkohol hanya sekadar menghilangkan simptom tekanan dan apabila berhenti mengambilnya, stress pasti akan kembali.

3. Rehat Seketika
Ketika melakukan sesuatu kerja pastikan anda berhenti rehat seketika untuk meminimakan tekanan. Lakukan regangan, berjalan atau buat panggilan kepada rakan. Apabila kembali untuk menyambung kerja, pastikan anda dapat lakukan kerja itu dengan lebih efektif.

4. Kurangkan Gangguan
Ketika melakukan kerja yang penting, pastikan anda tidak diganggu. Contohnya matikan bunyi telefon, tutup pintu bilik atau pergi ke suatu tempat yang orang lain tidak dapat mencari anda.

5. Makan Makanan yang menyihatkan
Elakkan mengambil makanan yang tinggi lemak, gula dan sodium. Sekiranya bercadang untuk keluar sepanjang hari, pastikan anda mengambil dan makan makanan yang menyihatkan. Jika tidak, ia akan menyebabkan tahap tenaga menjadi rendah.

6. Lakukan Meditasi
Ia senaman yang bagus dan menyihatkan. Ini termasuklah bernafas dengan dalam-dalam yang dapat meningkatkan kerehatan pada otot-otot tubuh. Dan jangan lupa mengimaginasikan suasana yang menenangkan fikiran.

7. Berfikiran Positif dan Belajar Kawal Ketakutan
Elak dari menumpukan kepada perkara atau fikiran negatif. Sebaliknya fokus dan katakan kepada sesuatu yang positif mengenai diri setiap hari. Jangan buang masa dengan rasa bimbang mengenai sesuatu perkara yang tidak dapat ditukar atau dicapai.

8. Dapatkan Nasihat
Minta pertolongan, nasihat dan pandangan tidak bermakna anda lemah. Terdapat banyak sumber yang dapat membantu anda menyelesaikan stress. Jadi ambil peluang untuk menemui atau mendengar nasihat oleh pakar motivasi atau kaunselor.

9. Belajar Katakan ‘TIDAK’
Jangan sesekali rasa bersalah untuk mengatakan tidak. Melakukan dan menambah projek atau kerja lain ketika sibuk akan menyebabkan anda bertambah tertekan. Berbincanglah dengan penyelia anda jika menghadapi masalah berkaitan kerja.

10. Dapatkan Tidur yang Cukup
Tidurlah sekurang-kurangnya 6 – 8 jam sehari. Tetapi seseorang akan mengalami masalah tidur apabila mereka terlalu stress memikir dan menyiapkan kerja yang bertimbun.

11. Lakukan Senaman
Aktiviti fizikal adalah cara terbaik untuk menangani tekanan. Ia akan merembeskan endorphin dan memberikan kesegaran secara semulajadi.

12. Menarik Nafas Dalam-dalam
Teknik pengurusan tekanan paling mudah dan boleh dilakukan di mana-mana. Bernafas dengan cepat akan meningkatkan tindak balas tekanan. Bernafaslah dalam-dalam dan perlahan.

KAUNSELOR

Kaunselor adalah seorang profesional yang terlatih dalam bidang kaunseling. lanya boleh juga tergolong dalam bidang lain seperti mereka yang terlatih secara profesional dalam pekerja keagaman, pekerja-pekerja sosial, pakar bimbingan kerjaya ataupun kaunselor psikologi. Disini kami tulis serba sedikit mengenainya setelah topik ini menjadi perbincangan hangat pada minggu-minggu lepas.

KOD TATALAKU
1. Kaunselor hendaklah menjaga tatalakunya demi memelihara standard dan identiti sebagai seorang kaunselor dan intergriti profesion kaunseling.
2. Kaunselor hendaklah sentiasa berusaha menilai dan meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan kemahiran dalam bidang profesionnya.
3. Kaunselor hendaklah menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, objektif dan jujur selaras dengan profesion kaunseling.
4. Kaunselor mestilah diawasi serta dinilai tugas kaunselingnya oleh penyelia profesional melalui penyeliaan lazim (regular supervision) dan sokongan perundingan (consultative support).

TANGGUNG JAWAB KAUNSELOR KEPADA KLIEN
1. Kaunselor bertanggungjawab mengutamakan kepentingan klien.
2. Kaunselor hendaklah menghormati privasi klien dan merahsiakan segala maklumat yang diperolehi semasa kaunseling melainkan jikalau maklumat itu akan membahayakan klien atau orang-orang dipersekitarannya.
3. Kaunselor hendaklah memahami dan menghormati latar belakang sosiobudaya klien.
4. Semasa perhubungan kaunseling , kaunselor hendaklah memelihara kesejahteraan fisikal dan psikologi klien, dan tidak memperalatkan klien untuk kepentingan diri sendiri sama ada dalam aspek kewangan, seksual, emosi dan sebagainya atau dalam apa bentuk sekalipun.
5. Kaunselor hendaklah membimbing klien kearah pembentukan sikap bertanggungjawab terhadap tingkahlakunya. Kaunselor juga perlu menghormati keputusan atau penentuan kendiri yang dibuat oleh klien.
6. KaunseIor hendaklah berkhidmat dengan penuh dedikasi, ikhlas, jujur dan membuktikan kemahiran serta kecekapan profesionalismenya.
7. Kaunselor tidak boleh mengamalkan, mempersetujui atau menggalakkan diskriminasi berasaskan ras, jantina, agama, status, ideologi, kecacatan fisikal, mental atau diskriminasi dalam apa-apa bentuk sekali pun.
8. Kaunselor hendaklah menjelaskan kepada klien mengenai keperluan, proses dan implikasi perkhidmatan kaunseling.
9. Kaunselor hendaklah mencapai persetujuan dengan kliennya diperingkat awal sesi kaunseling mengenai batasan umur kerahsiaan.
10. Apa-apa persetujuan di antara kaunselor dan klien mengenai kerahsiaan boleh di semak semula dan diubah dengan persetujuan bersama.
11. Dalam kes di mana jelas terbukti bahawa klien, mengikut pertimbangan kaunselor menunjukkan dengan jelas, diri klien atau orang Iain berada dalarn keadaan bahaya, kaunselor hendaklah menggunakan budi bicaranya mengambil tindakan wajar untuk menjaga kepentingan klien dan orang lain yang terlibat.
12. Kaunselor tidak digalakkan memberi perkhidmatan kaunseling kepada saudara mara, kawan karib, ataupun kepada mereka yang mempunyai hubungan intim dengannya atau mempunyai hubungan dengan pihak pentadbiran yang berunsurkan penilaian terhadap prestasinya.
13. Kaunselor tidak boleh menghalang klien yang hendak menamatkan sesi kaunseling atau ingin menukar kepada kaunselor yang lain.
14. Kaunselor hendaklah memastikan bahawa klien yang diberi khidmat kaunseling tidak menjalani kaunseling dengan kaunselor yang lain pada masa yang sama.
15. Sekiranya mengikut pertimbangan kaunselor, klien memerlukan perkhidmatan luar daripada bidang kepakarannya, kaunselor perlu merujuk klien kepada pihak berkenaan.
16. Kaunselor hendaklah menyediakan tempat yang selesa dan private untuk sesi kaunseling. Klien tidak seharusnya diperhatikan oleh orang lain melainkan dengan kebenarannya, ini termasuk juga sesi kaunseling yang dirakam atau dipita videokan.

PERANAN AGAMA DALAM PENDEKATAN KAUNSELING

Tiada seorang manusia normal di dunia ini yang tidak mempunyai masalah. Tidak kira masalah yang dihadapi besar atau kecil, ia akan tetap mengambil ruang kepada kestabilan mental individu dalam usaha mencari jalan penyelesaian. Ada yang menerima masalah dan tekanan tersebut sebagai ujian dan dugaan daripada Ilahi malah tidak kurang juga yang menyalahkan takdir Tuhan.

Tekanan dalam menghadapi permasalahan ini pula berbagai dan bergantung kepada kekuatan mental individu tersebut. Antara langkah yang boleh digunakan dalam meredakan tekanan tersebut adalah melalui kaedah kaunseling.

Blocher (1974) mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses untuk menolong individu supaya ia menjadi lebih sedar tentang dirinya dan bagaimana ia dapat bertindak balas dalam alam persekitarannya. Manakala Corey (1977) sepertimana dengan Blocher menekankan tentang proses di mana seorang klien diberi peluang untuk menerokai aspek diri dan kehidupannya yang menimbulkan masalah pada dirinya. James (1982) pula mendefinasikan kaunseling sebagai suatu proses pembelajaran yang lebih menekankan kepada proses membantu individu untuk mencapai kehendaknya, membimbing dan menilai potensi yang ada pada diri individu.

Tidak dapat disangkal, membicarakan mengenai kaunseling, lazimnya tidak dapat lari daripada teori, kaedah dan teknik kaunseling yang dibawa dari Barat. Nama-nama seperti Sigmund Freud, Carl Rogers, Albert Ellis sangat sinonim dengan ilmu kaunseling sehinggakan terdapat pandangan negatif yang melihat kaunseling seringkali mengabaikan satu elemen yang sangat penting dalam kehidupan manusia, iaitu elemen agama mahupun kerohanian (Sapora Sipon: 2005).

Sigmund Freud sendiri menganggap bahawa agama sebagai satu ilusi dan boleh mengherotkan pandangan manusia terhadap kehidupan. Ahli-ahli psikologi sezaman dengan Freud menganut aliran ‘relativism ethical’ dan ‘ethical hedonism’. Pengaruh teori evolusi Darwin menyebabkan Freud dan ahli-ahli psikologi lain pada waktu itu berpandangan bahawa kejadian manusia secara semula jadinya adalah hampir sama dengan kejadian binatang. (Lundin, 1985).

Mereka berpendapat bahawa manusia pada asasnya adalah bersifat hedonistik dan menolak sama sekali unsur moral dan etika yang boleh dioptimakan dalam diri manusia. Pemisahan agama dalam bidang kaunseling juga mungkin ada kaitannya dengan usaha Barat untuk mengasingkan ilmu agama dengan ilmu sekular yang lahir daripada konsep ‘the separation of state and church’ (Sapora:ibid).

Di dalam Islam, kaunseling mempunyai pengertian dan kedudukan yang tersendiri. Ini selaras dengan tuntutan Islam itu sendiri yang berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Kebanyakan sentuhan kaunseling barat lebih bertumpu kepada perubahan tingkah laku klien ke arah lebih rasional dan mengikut garis normal hidup sebagai manusia.
Kaunseling Islam mempunyai liputan skop masalah yang lebih besar iaitu yang berkaitan dengan keimanan seseorang seperti aspek ketuhanan, alam akhirat, dosa, pahala, neraka, hari kiamat dan sebagainya.

Ahli-ahli Psikologi Barat kini sendiri telah memperakui sekaligus menidakkan teori Freud dan rakan-rakan sezamannya mengenai perkaitan antara agama dan masalah psikologikal ini. Keperluan agama dalam merawat masalah psikologikal diakui oleh West (2002) yang berpendapat kerohanian atau keagamaan menjadi sebahagian daripada kehidupan dan dilihat serta diakui sebagai sesuatu yang sangat berharga.
Kajian oleh Glaser dan Bozarth (2001) mendapati kerohanian yang positif adalah sangat perlu untuk perkembangan diri yang sihat dan keberfungsian. Individu yang mempunyai identiti kerohanian yang positif berfungsi lebih baik dari segi interpersonal dan emosi individu.

Berkesannya kaunseling berpendekatan Islam ini adalah kerana matlamat akhir yang berbeza dengan pendekatan-pendekatan lain. Matlamat akhir bagi sesi kaunseling ini adalah mengkehendaki klien memahami hubungan dengan Allah s.w.t., hubungan dengan makhluk-makhluk ciptaan Allah, tujuan hidup dunia dan matlamat akhir hidup ini.
Kaunseling berpendekatan Islam ini menekankan empat perkara penting iaitu pembangunan roh, akal, hati dan pengimbangan nafsu (www.pkpim.net).

1.Pembangunan Roh
Pembangunan roh merupakan aspek paling penting dalam kaunseling Islam. Bilamana roh itu sudah mula mengenali Allah, mencintai Allah, mula takut pada Allah, yakin pada Allah dan akur pada segala suruhan dan larangan Allah, maka manusia mula mengetahui apa tujuan hidupnya.

2. Pembangunan Akal
Membangunkan akal atau dalam kata lain, pencerahan akal (celik akal) dapat membimbing manusia kepada kemuliaan dan ketinggian darjat sebagai hamba disisi Allah s.w.t. Akal fikiran adalah amanah dan tanggungjawab daripada Allah yang tidak dilibatkan kepada makhluk lain dimuka bumi. Akal fikiran dapat membezakan kebenaran dan kebatilan, juga antara petunjuk (hidayah) dan kesesatan.

3. Pembangunan Hati
Pembangunan hati bukan sahaja sekadar menumpukan zikir pembaikan hati dan sebagainya, tetapi yang lebih utama adalah membuang dahulu segala kekotoran yang lahir dari dosa dan maksiat yang dilakukan. Hati manusia ibarat bebola kaca yang jernih dan bersinar. Andai ia dikilau dengan cahaya yang benar-benar terang, maka pancarannya akan menjadi semakin menyerlah dan menarik orang lain untuk melihatnya. Hati yang elok berupaya memberi ilham kepada manusia tentang hakikat dirinya dan juga Penciptanya iaitu Allah s.w.t.

4. Pengimbangan Nafsu
Mengapa tidak dikatakan penghapusan atau perlupusan nafsu? Ini kerana manusia juga memerlukan nafsu dalam kehidupannya. Nafsu yang diimbang dengan hati yang jernih, ruh yang dibangunkan dan akal yang terpimpin akan mampu membawa manusia kearah kesejahteraan lahiriah dan batinniah. Contohnya, makan adalah satu aktiviti dalam kehidupan. Andai nafsu jahat yang menguasai nafsu makan, maka kita akan makan secara berlebihan sehingga lahiriah menjadi malas, dan impak yang lebih buruk akan menimpa batinniah sehingga menyebabkan rosaknya hati dan jiwa.

Telah dibuktikan bahawa sebahagian besar ahli profesional mempercayai nilai manusia dan gaya hidup mempunyai kesan yang mendalam ke atas kesihatan mental dan keberfungsian emosi dan sesetengah nilai lebih mengikut kesejahteraan mental daripada yang lain (Jensen & Bergin, 1988).

Agama juga berperanan sebagai satu mekanism untuk membantu menghadapi kesukaran kehidupan. Ini kerana institusi keagamaan dan sistem kepercayaan berfungsi sebagai satu mekanism yang bersifat pencegahan. Banyak bukti empirikal mencadangkan kepercayaan agama, latihan dan institusi menjadi berkesan dengan peranan pencegahannya. Penglibatan agama yang diukur melalui pelbagai cara dilihat mengurangkan kejadian membunuh diri, penggunaan dan penyalahgunaan dadah dan alkohol serta perpecahan keluarga (Payne, Bergin, Bielema & Jenkins, 1992).

PENGERTIAN KAUNSELING

Kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris “counselling” yang boleh
difahami oleh semua orang, tetapi mereka mungkin memahaminya dalam pergertian
yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam
aktiviti kaunseling baik secara langsung atau tidak langsung, terutamanya ibu bapa,
guru, pemimpin agama, peguam, doktor, jururawat dan juga semua yang terlibat dengan
proses mendidik dan kebajikan masyarakat.

Kaunseling bukanlah perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti rundingcara
sesama mereka. Kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk
mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia. Apa yang ketara
kaunseling merupakan alat asas bagi kebanyakan profesional. Secara amnya dapat
dikatakan bahawa konsep kaunseling diamalkan di dalam bidang pendidikan, perubatan,
agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan keluarga.
Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada
bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan
berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah
manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga kembang daripada
situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan
kepada kepercayaan:

. Bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi
makna kepada kehidupan masing-masing.

• Mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia
bertanggungjawab terhadap arah kehidupan masing-masing.

Kaunseling merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dan klien, iaitu orang yang
meminta pertolongan sama ada datang sendiri ataupun dirujuk. Tujuan
pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien
membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya, di samping mengetahui baik
buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu.

Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan
situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan
nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa
depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang
kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien.

Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan
masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan
dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan
tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.

Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka
aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya.
Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-
pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan
halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan
lebih sempurna.

Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan. Melalui proses ini, klien
dibimbing membuat keputusan sendiri. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara
kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan
klien berubah.

TUJUAN KAUNSELING
Para profesional di bidang kaunseling dan psikoterapi mempunyai pendapat yang berbeza
tentang kaunseling dan psikoterapi. Kaunseling mempunyai dua jenis tujuan, iaitu tujuan
proses dan tujuan terakhir. Tujuan atau matlamat proses merupakan yang ingin dicapai
dalam masa yang singkat. Tujuan proses terus melibatkan klien di dalam proses
kaunseling sehingga kaunselor dan klien bersetuju bahawa klien tidak lagi memerlukan
perkhidmatan lanjut. Untuk mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal sangatlah
penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak percaya dengan
kaunselornya, maka dia tidak akan mahu meneruskan proses dan perhubungan
kaunseling tersebut.

Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan perkhidmatan kaunseling dalam jangka
masa yang panjang. Tujuan terakhir adalah perubahan atau perkembangan yang akan
dialami oleh klien hasil daripada perkhidmatan kaunseling. Di antara konsep yang
diutamakan ialah kesedaran kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi
sepenuhnya dan kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir merupakan persoalan yang
dihadapi oleh manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah
sahaja, bahkan merupakan tujuan setiap manusia yang ingin hidup dengan lebih
bermakna, berfungsi dengan sepenuhnya bergerak dan dinamik.

Lima tujuan kaunseling iaitu:
1. Menolong mengubah tingkah laku klien.
2. Menambahkan kemahiran klien mengendalikan kehidupannya sendiri, terutama
mereka yang terlalu bergantung kepada orang lain atau terlalu bimbang dan ragu-
ragu tentang dirinya.
3. Menambahkan kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien
diharapkan dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana,
tahu bagaimana dan mengapa keputusan tertentu mesti dibuat, apakah
kemungkinan akibat atau kesannya dan sedia menghadapi sebarang risiko akibat
keputusan tersebut.
4 Membaiki perhubungan klien dengan ahli-ahli masyarakatnya. Ramai orang
menghadapi masalah dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Masalah
ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep kendiri, sama ada konsep
kendiri yang rendah atau sebaliknya. Diharapkan proses kaunseling dapat
menolong klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain,
misalnya perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya dan
seterusnya dalam masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu
kesejahteraan kehidupan individu.
5. Membantu perkembangan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti
kebolehan dan bakatnya supaya dia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
Kaunseling mementingkan perubahan yang tertentu tetapi keseluruhan perubahan pada
diri seseorang individu itu hingga menyebabkan dia merasa sejahtera. Objektif
kaunseling yang utama ialah untuk memberi inspirasi kepada klien bagi menilai,
membuat, menerima dan mengambil tindakan terhadap pilihan atau keputusan yang
dibuatnya. Bagi mereka, kaunseling menolong klien mempelajari proses membuat
keputusan, sehingga akhirnya dia dapat membuat keputusan tanpa sentiasa
mengharapkan bantuan orang lain. Pelbagai tujuan telah diutarakan oleh mereka yang
banyak pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Satu hakikat yang
nyata ialah tujuan itu tidak sama pada semua orang. Di dalam perkembangan proses

kaunseling, tujuan bagi seseorang klien itu mungkin diubahsuai dari semasa ke semasa.
Usaha membina tujuan mestilah dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak kaku, statik
atau tetap; dan perlu dibuat penilaian bersama oleh klien dan kaunselor mengikut
keperluan klien.

Secara umumnya, bolehlah disimpulkan bahawa kaunseling menolong seorang klien:
• Memahami diri dan situasinya;
• Mengenal pasti keperluannya;
• Menerima realiti hidupnya;
• Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya;
• Bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya;
• Dan seterusnya menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.

Tujuan terakhir supaya klien bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya sehingga
menjadi individu yang berfungsi sepenuhnya tidak mungkin dapat dicapai dalam masa
yang singkat. Ia merupakan tujuan hidup setiap insan yang inginkan kesejahteraan hidup
di dunia. Walaubagaimana pun tidaklah dapat dinafikan bahawa setiap klien dan
kaunselor mempunyai tujuan-tujuan jangka pendek yang lebih khusus yang ingin dicapai
dalam masa yang singkat.

Setiap manusia mesti dilihat menurut konteks sesuatu situasi di antara diri dan situasi
yang menimbulkan masalah-masalah berkenaan, difahami bagaimana, mengapa dan
kenapa, supaya dapat diterima hakikat yang sebenar dan dapat dibina tujuan-tujuan
hidup yang lebih realistik dan lebih bermakna. Jika dilihat dari segi ini, tujuan juga
merupakan suatu proses yang dinamik, di dalam perjalanan hidup di dunia ini yang
penuh dengan cabaran dan ketidakpastian. Masalah individu yang berhubung dengan
kerunsingan, psikologi, peribadi dan ketidaksejahteraan, kebanyakannya berpunca dari
dalam diri individu itu sendiri kerana tidak memahami diri dan situasi serta tidak
mempunyai jangkaan atau harapan yang realistik terhadap hidup.
Persoalan-persoalan asas seperti siapakah aku, dari manakah asalku, apakah tujuan
hidupku, siapakah yang menjadikan aku, untuk apakah aku dihidupkan dan
seumpamanya sepatutnya diberi perhatian yang wajar.

Diharapkan klien dapat belajar mengendalikan hidupnya sendiri daripada pengalaman
dalam proses dan perhubungan kaunseling. Dalam proses kaunseling, klien belajar tetapi
kaunselor tidak mengajar. Fungsi kaunselor adalah sebagai ‘pemandu’ yang pada
mulanya diperlukan untuk menunjuk jalan dan menemani klien dalam perjalanannya,
memahami diri dan situasinya serta mengenal pasti keperluannya. Setelah tujuan ini
tercapai, barulah fungsi dan peranan kaunselor tercapai dengan sempurnanya. Semakin
berkurangan sehingga sampai klien tidak lagi memerlukannya kerana dia sudah dapat
meneruskan perjalanannya sendiri tanpa bantuan daripada kaunselor lagi.

Tuesday, June 8, 2010